MANUSIA WAJIB TANGKIS 10 PERANGKAP SYAITAN
Assalamualaikum wbt,
ALLAH
berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan
angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan
kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka
jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.”
(An-Nisa: 120-121).
Keterbukaan
manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing
sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam
kehidupan seharian.
Melalui
pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada kita sedar atau tidak, kita
sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak dalam diri.
Apabila
syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup
melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan
menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati, suatu
organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu itu
juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula
merayap menguasai tunjang dalam badan manusia.
Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:
Pertama –
melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat mudah tersemai dan
menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu
sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.
Kedua
– melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan
diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan
yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu orang memerlukan sama ada
melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.
Ketiga –
melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam
diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam
hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang
dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada bila-bila masa saja. Allah
berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang
takbur.” (an-Nahl:23)
Keempat –
sifat khianat. Khianat dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan
merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga
mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk
perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
Kelima –
sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah selalu
menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada
menjadi golongan keempat daripada kalangan manusia dibenci Allah iaitu
golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat
orang lain.
Keenam
– melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti
dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW pernah
bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan
memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering ” (Riwayat Bukhori
dan Muslim).
Ketujuh
– melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini
selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan dirinya
sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat
terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki.
Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang
munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.”
(Riwayat Muslim).
Kelapan
– melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam
kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang
bersenang-senang saja.”
(Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
Kesembilan
– melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang
yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup
akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk
tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha
memperolehnya.
Kesepuluh
dan terakhir – melalui sifat buruk sangka. Seseorang suka menuduh orang
lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela
Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang
berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang
yang berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)
Posting Komentar