Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat sihat dan nikmat masa lapang kepada saya lantas membolehkan saya berkongsi sedikit pengetahuan melalui entri di sini.
Sejak akhir-akhir ini keluarga biras saya (isteri abang ipar) mengalami musibah yang bertimpa-timpa. Baru-bari ini adik perempuannya meninggal dunia akibat barah usus, pada masa yang sama adik lelakinya masuk hospital sebab bengkak leher dan setelah di"scan" disahkan mengidap barah darah.
Kita juga sering terdengar berita kawan-kawan, sahabat handai, jiran sekampung mengalami pelbagai jenis barah dan kadang-kadang pada tahap ke-4.
Jadi apakah upaya kita untuk membantu mereka yang sedang ditimpa musibah tersebut? Selain daripada perubatan moden (hospital - kaedah allopathy), kita boleh juga berikhtiar dengan perubatan alternatif seperti menggunakan herba-herba yang tertentu, atau dengan kaedah perubatan Islam seperti yang diamalkan oleh Darussyifa'.
Di samping itu pesakit bolehlah beramal dengan ayat-ayat al-Quran sebab al-Quran ialah "Syifa' bagi manusia." (Al-Israa':82)
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri satu majlis yang dipimpin oleh Syeikh Paiz, adik kepada Dato' Murtadza Bin Ahmad, mantan Mufti Negeri Sembilan. Dalam majlis tersebut Syeikh memberitahu supaya pesakit-pesakit yang mengidap sakit yang kronik seperti barah dan sebagainya, maka hendaklah ia melazimkan membaca surah al-Waqiah, mudah-mudahan ia sembuh dengan izin Allah SWT.
Mari kita lihat hadis-hadis mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah:
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Hadis riwayat Baihaqi dari Ibnu Mas'ud r.a.)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Jelas
hadis-hadis Nabi mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah ini menyentuh
tentang mengelak kemiskinan. Jika diteliti dengan lebih lanjut lagi,
rupa-rupanya miskin dalam definisi apabila dihuraikan melalui Bahasa
Arab ialah miskin kesihatan, miskin wang ringgit, miskin jiwa, miskin
ilmu dan sebagainya. Definisi miskin ini begitu subjektif bagi bahasa
mereka. Ianya bermaksud kekurangan atau perkara yang tiada pada mereka.
Jadi
orang yang sedang sakit juga dikatakan miskin, iaitu miskin sihat -
tidak sihat. Maka dengan itu ikutilah saranan para Allamah, lazimkanlah
membaca surah al-Waqi'ah dan berdoa dengan tulus ikhlas agar Allah SWT
menyembuhkan penderitaan yang kita alami dari penyakit yang kronik
tersebut.
Di bawah ini dinyatakan kaedah amalan surah al-Waqi'ah yang saya petik daripada Internet.
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya
- Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.
- Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.
- Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.
Posting Komentar